7
Kemudian penduduk Kiryat-Yearim mengambil Tabut Perjanjian TUHAN dan membawanya ke rumah seorang yang bernama Abinadab; rumah itu terletak di atas bukit. Mereka mentahbiskan Eleazar anak Abinadab untuk menjaga Tabut Perjanjian. +
Samuel Memerintah Israel
Lama juga Tabut Perjanjian TUHAN berada di Kiryat-Yearim, kira-kira dua puluh tahun. Selama itu segenap umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN.
Samuel berkata kepada umat Israel, “Jika kamu hendak kembali kepada TUHAN dan menyembah Dia dengan sepenuh hati, buanglah semua dewa asing dan patung-patung Dewi Asytoret. Serahkanlah diri kamu sepenuhnya kepada TUHAN dan mengabdilah kepada Dia sahaja. Barulah Dia akan membebaskan kamu daripada kuasa orang Filistin.” Oleh itu umat Israel membuang patung-patung Dewa Baal dan Dewi Asytoret, lalu menyembah TUHAN sahaja.
Selepas itu Samuel berkata, “Kumpulkanlah segenap umat Israel di Mizpa. Kemudian aku akan berdoa untuk kamu di situ.” Oleh itu mereka semua berkumpul di Mizpa. Mereka menimba air lalu menuangkannya sebagai persembahan untuk TUHAN. Mereka juga berpuasa sepanjang hari. Mereka berkata, “Kami sudah berdosa terhadap TUHAN.” (Di Mizpa Samuel menyelesaikan perkara-perkara perselisihan antara umat Israel).
Apabila orang Filistin mendengar bahawa umat Israel sudah berkumpul di Mizpa, lima orang raja Filistin berangkat ke sana bersama dengan tentera mereka untuk menyerang umat Israel. Umat Israel menjadi takut ketika mereka mendengar hal itu. Mereka berkata kepada Samuel, “Jangan berhenti berdoa kepada TUHAN Allah kita, supaya kita diselamatkan-Nya daripada orang Filistin.” Samuel menyembelih seekor anak domba muda lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.A Setelah itu dia berdoa minta TUHAN menolong Israel, dan TUHAN mengabulkan doanya itu. 10 Sedang Samuel mempersembahkan korban itu, orang Filistin mula menyerang mereka. Tetapi pada saat itu juga, TUHAN mengguntur dari langit untuk melawan orang Filistin. Mereka menjadi kacau-bilau lalu lari kebingungan. 11 Tentera Israel keluar dari Mizpa lalu mengejar orang Filistin sehingga hampir sampai di Bet-Kar, sambil membunuh mereka di sepanjang jalan.
12 Kemudian Samuel mendirikan sebuah batu di sempadan antara Mizpa dan Sen. Dia berkata, “TUHAN sudah menolong kita dengan sepenuhnya.” Oleh itu dia menamakan batu itu “Batu Pertolongan.” 13 Demikianlah orang Filistin dikalahkan. Selama Samuel hidup, TUHAN mencegah orang Filistin menceroboh kawasan Israel. 14 Semua kota Israel yang telah ditaklukkan oleh orang Filistin, dari Ekron sampai Gat, dikembalikan kepada Israel. Dengan itu Israel mendapat kembali seluruh wilayah mereka. Orang Israel dan orang Amori pun hidup dengan damai.
15 Samuel memerintah Israel seumur hidupnya. 16 Tiap-tiap tahun dia mengadakan perjalanan keliling ke Betel, Gilgal, dan Mizpa. Di tempat itu dia menyelesaikan perkara-perkara perselisihan. 17 Selepas itu dia selalu pulang ke rumahnya di Rama. Di sana dia juga menjadi hakim umat Israel. Di Rama, dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN.
+ 7:1 2 Sam 6.2-4; 1 Taw 13.5-7 A 7:9 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN; Harfiah: Korban bakar. Lihat Kamus.