Umat Israel Meminta Seorang Raja
8
1 Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya menjadi hakim di Israel.
2 Anaknya yang sulung bernama Yoel dan yang kedua bernama Abia. Kedua-duanya menjadi hakim di Bersyeba.
3 Tetapi mereka tidak mengikuti teladan bapa mereka. Mereka hanya mencari keuntungan diri sendiri; mereka menerima rasuah dan menghakimi rakyat dengan tidak adil.
4 Kemudian semua pemimpin Israel berkumpul lalu menghadap Samuel di Rama.
5 Mereka berkata kepadanya, “Dengarlah tuan, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak menurut teladan tuan. Oleh itu, lebih baik tuan melantik seorang raja bagi kami, supaya kami pun mempunyai seorang raja seperti bangsa-bangsa lain.” +
6 Samuel tidak suka dengan permintaan mereka itu, lalu dia berdoa kepada TUHAN.
7 Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Kabulkanlah segala permintaan mereka. Bukan engkau yang ditolak oleh mereka; sebenarnya, Akulah yang ditolak oleh mereka sebagai raja.
8 Sejak Aku membawa mereka keluar dari Mesir, mereka sudah membelakangi Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang, apa yang dilakukan mereka terhadap engkau, sudah selalu dilakukan mereka terhadap Aku juga.
9 Oleh itu kabulkanlah permintaan mereka; tetapi berikanlah amaran yang tegas kepada mereka, dan beritahukan cara raja mereka itu akan memperlakukan mereka.”
10 Samuel menyampaikan segala firman TUHAN itu kepada semua orang yang meminta seorang raja.
11 Samuel menjelaskan, “Inilah caranya raja kamu akan memperlakukan kamu. Raja akan mengambil anak-anak lelaki kamu untuk dijadikan askar. Ada yang akan menjadi anggota pasukan berkereta kuda, ada pula yang akan menjadi anggota pasukan berkuda, ada lagi yang akan berlari di depan kereta kuda raja.
12 Ada yang akan dijadikan ketua pasukan seribu orang askar, dan ada lagi ketua pasukan lima puluh orang askar. Raja itu akan memaksa anak lelaki kamu membajak ladangnya, menuai hasil tanamannya, dan membuat senjata serta perkakas bagi kereta kuda raja.
13 Anak perempuan kamu akan disuruh membuat minyak wangi, dan bekerja sebagai tukang masak serta pembuat roti bagi raja.
14 Raja itu akan mengambil ladang dan ladang anggur kamu, serta kebun zaitun kamu yang terbaik, lalu memberikan semuanya kepada para pegawai raja.
15 Ladang dan ladang anggur kamu akan dikenakan cukai sepuluh peratus daripada hasilnya, lalu raja akan memberikannya kepada para pegawai dan pegawai tentera raja.
16 Raja itu akan mengambil hamba dan ternakanm kamu yang terbaik, serta keldai kamu, lalu menggunakan semuanya untuk pekerjaan raja.
17 Raja kamu itu akan mengambil sepuluh peratus daripada semua ternakan kamu. Bahkan kamu sendiri akan menjadi hamba raja.
18 Pada masa itu kamu akan bersungut kerana raja kamu, raja yang kamu pilih sendiri. Tetapi TUHAN tidak akan mempedulikan sungutan kamu.”
19 Umat Israel tidak mahu menghiraukan kata-kata Samuel, malahan mereka berkata, “Biarlah! Kami tetap mahukan seorang raja.
20 Kami mahu menjadi seperti bangsa-bangsa lain. Raja kami akan memerintah kami dan memimpin kami dalam peperangan.”
21 Samuel mendengar segala kata-kata mereka, lalu memberitahukannya kepada TUHAN.
22 TUHAN menjawab, “Kabulkanlah permintaan mereka. Lantiklah seorang raja bagi mereka.” Setelah itu Samuel menyuruh semua orang Israel pulang ke rumah masing-masing.