12
Doa Minta Tolong 
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud. 
2 Tolonglah kami, ya TUHAN, 
kerana tidak ada lagi orang yang baik; 
orang yang jujur tidak dapat dijumpai lagi. 
3 Semua manusia saling membohongi, 
dan saling menipu dengan kata-kata manis. 
4 Hentikanlah kata-kata manis itu, ya TUHAN, 
dan bungkamkan mulut yang bercakap besar, 
5 “Kami berkuasa dengan mulut kami. 
Kami akan bercakap sesuka hati; 
tidak sesiapa dapat menghalang kami.” 
6 TUHAN berfirman, “Orang miskin ditindas, 
dan orang yang dianiaya mengerang. 
Maka sekarang juga Aku datang 
memberikan ketenteraman yang diingini mereka.” 
7 Janji TUHAN teguh dan dapat dipercayai; 
seperti perak yang dimurnikan berkali-kali di dalam api. 
8-9 Orang jahat terdapat di merata-rata tempat, 
dan setiap orang menyanjung kejahatan. 
Selamatkanlah kami, ya TUHAN, 
peliharakanlah kami daripada orang seperti itu. 
