5
Doa Minta Perlindungan
1 Untuk pemimpin koir. Dengan iringan suling. Mazmur Daud.
2 Ya TUHAN, dengarkanlah kata-kataku,
dengarkanlah keluhanku.
3 Ya Allahku, Rajaku,
dengarlah rintihanku dan tolonglah aku.
Aku berdoa kepada-Mu, ya TUHAN;
4 pada waktu pagi Engkau mendengar suaraku;
ketika matahari terbit aku mempersembahkan doaku,c
dan menanti-nantikan jawapan-Mu.
5 Ya Allah, Engkau tidak suka akan perbuatan jahat;
Engkau tidak membenarkan orang jahat berada di hadirat-Mu.
6 Engkau tidak tahan melihat orang sombong;
Engkau membenci semua orang jahat.
7 Engkau memusnahkan semua pembohong,
dan menghina pengganas dan penipu.
8 Tetapi demi kasih-Mu yang besar,
aku dapat masuk ke Rumah-Mu.
Aku boleh menyembah Engkau di dalam Rumah-Mu yang suci,
dan bersujud di hadapan-Mu dengan hormat.
9 Ya TUHAN, amat banyak musuhku;
pimpinlah aku melakukan kehendak-Mu,
dan tunjukkanlah jalan-Mu yang harus aku tempuh.
10 Kata-kata musuhku tidak boleh dipercayai;
rancangan mereka jahat sekali;
kata-kata mereka manis memikat,
tetapi penuh dengan niat jahat. +
11 Hukumlah mereka, ya Allah;
biarlah mereka celaka kerana rancangan mereka sendiri.
Usirlah mereka kerana dosa mereka yang banyak itu
serta pemberontakan mereka terhadap-Mu.
12 Semoga semua orang yang berlindung kepada-Mu gembira;
dan bernyanyi dengan sukacita selama-lamanya.
Lindungilah mereka yang mengasihi Engkau,
supaya mereka sungguh berbahagia kerana Engkau.
13 Engkau memberkati mereka yang taat kepada-Mu, ya TUHAN;
kasih-Mu melindungi mereka seperti perisai.